Satu berita mengejutkan buat peminat penerbangan bajet. Syarikat penerbangan kos rendah Jetstar Asia yang beroperasi dari Singapura akan menamatkan operasinya pada akhir Julai 2025. Penumpang yang terjejas akan ditawarkan bayaran balik penuh, menurut laporan BBC.
Jetstar Asia tidak mampu lagi bertahan selepas bergelut dengan kenaikan kos pembekal yang melampau, caj lapangan terbang yang tinggi, serta persaingan sengit dengan syarikat lain seperti AirAsia dan Scoot. Akibatnya, lebih 500 pekerja akan kehilangan kerja.
Namun jangan panik, Jetstar Airways dari Australia dan Jetstar Japan tidak terjejas dan akan terus beroperasi seperti biasa, jelas pemilik bersama mereka, Qantas.
Servis Dikurangkan Secara Perlahan Penumpang Akan Diberi Notis
Dalam tempoh tujuh minggu akan datang, penerbangan Jetstar Asia akan dikurangkan sedikit demi sedikit. Penumpang akan dimaklumkan jika perjalanan mereka terjejas. Bagi mereka yang mempunyai tiket selepas 31 Julai, pihak syarikat akan menghubungi secara terus.
Sebahagian penumpang juga mungkin akan dipindahkan ke penerbangan lain di bawah kumpulan Qantas. Jetstar Asia turut menasihati mereka yang menempah tiket melalui ejen pelancongan atau syarikat penerbangan lain supaya menghubungi pihak berkenaan secara langsung.
16 Laluan Terjejas Termasuk Malaysia Indonesia dan Filipina
Penutupan ini akan menjejaskan sebanyak 16 laluan utama di Asia, termasuk penerbangan dari Singapura ke Malaysia, Indonesia, dan Filipina.
Menurut laporan BBC, langkah ini juga membolehkan syarikat induknya Qantas memperoleh dana sebanyak A$500 juta untuk menggantikan pesawat lama dan mengagihkan semula 13 pesawat bagi laluan di Australia dan New Zealand.
Rugi Besar Kos Naik Sampai 200 Peratus
Ketua Eksekutif Qantas Group Vanessa Hudson mendedahkan bahawa kos pembekal Jetstar Asia meningkat sehingga 200 peratus, menjadikan operasi mereka tidak lagi menguntungkan. Malah, syarikat dijangka mengalami kerugian sebanyak A$35 juta untuk tahun kewangan ini.
Ramai Pelanggan Sedih dan Terkejut
Sejurus pengumuman dibuat di Facebook Jetstar Asia, ruangan komen dibanjiri reaksi sedih dan terkejut.
“Sayu hati dengar berita ni. Jetstar Asia memang antara airline bajet terbaik yang saya pernah guna,” tulis seorang pengguna.
Ada juga yang berterima kasih kerana Jetstar Asia banyak membuka peluang kepada mereka untuk melancong dengan kos rendah selama ini.
Jetstar Asia yang dilancarkan pada tahun 2004, pernah menjadi antara peneraju penerbangan bajet di rantau ini. Namun akhirnya terpaksa akur dengan cabaran semasa dan tekanan ekonomi yang makin memuncak.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.