Pergaduhan suami isteri bukan perkara asing dalam kehidupan berumah tangga. Namun, apabila konflik berlaku di hadapan anak-anak, sejauh mana perkara itu boleh meninggalkan kesan apabila mereka semakin dewasa?
Persoalan itu dibangkitkan pelakon dan pengacara, Ain Edruce menerusi satu hantaran di media sosial yang mengundang pelbagai reaksi netizen.
Menerusi perkongsian tersebut, Ain meluahkan rasa ingin tahunya tentang memori anak kecil yang menyaksikan ibu bapa mereka bertengkar.
“Aku tertanya.. parents kalau gaduh2 depan anak time anak kecik ni kan, bila besar nanti anak2 tu akan ingat x?” tulisnya.
Ain Edruce Persoalkan Kesan Pergaduhan Ibu Bapa
Walaupun Ain tidak menjelaskan secara terperinci sebab dia mengemukakan persoalan tersebut, isu berkenaan sememangnya dekat dengan realiti masyarakat hari ini.
Lebih-lebih lagi apabila media sosial semakin menjadi tempat sesetengah pasangan meluahkan konflik rumah tangga secara terbuka, malah ada yang sanggup bersiaran langsung ketika pertengkaran berlaku.
Menariknya, seorang netizen berkongsi pengalaman sebagai individu yang pernah melalui situasi sama.
“Ingat sis. Sayalah mangsa tapi in my opinion memang patut pun parents gaduh depan anak-anak. At least nanti bila anak dah besar pandai menilai mana satu parent yang problematic. Just my 2 cents,” tulisnya.
Zaman Sekarang Pergaduhan Ada Siaran Ulangan?
Seorang lagi pengguna media sosial pula memberikan pandangan berbeza dengan membandingkan cara ibu bapa zaman dahulu dan sekarang.
“Zaman dulu mak ayah gaduh takde rakam or live.. jadinya takde siaran ulangan.. kalau gaduh zaman sekarang rakam dan live.. sampai 2070 pun ada dalam internet,” katanya.
Komen tersebut turut membuka satu lagi perspektif tentang kesan pendedahan konflik keluarga di platform digital.
Pada pandangan MURAI, anak-anak bukan penonton yang sepatutnya dipaksa menyaksikan konflik orang dewasa. Walaupun mereka masih kecil, emosi dan pengalaman ketika membesar boleh mempengaruhi cara mereka memahami hubungan kekeluargaan.
Kalau ada masalah rumah tangga, selesaikanlah dengan matang. Jangan sampai anak menjadi saksi, apatah lagi bahan kandungan yang boleh ditonton berulang kali di internet.















