Pernah tak kamu terjaga tengah malam kerana kulit menjadi sangat gatal secara tiba-tiba dan dipenuhi dengan gegata, tetapi bila berjumpa dengan doktor ruam tersebut sudah pun hilang?
Situasi ini mungkin biasa untuk sesetengah orang, tetapi jika ia kerap berlaku, kamu tak sepatutnya memandang remeh akan hal tersebut.
CSU, penyakit gegata kronik yang masih belum dikenali ramai
Menurut Dr Peter Ch’ng Wee Beng, Pakar Perunding Dermatologi dan Naib Presiden Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM), keadaan tersebut mungkin ada kaitannya dengan Urtakaria Spontan Kronik (CSU).
CSU ialah penyakit kulit yang menyebabkan gegata atau benjolan gatal muncul berulang kali selama lebih 6 minggu tanpa pencetus luaran yang jelas.
Gejalanya boleh muncul dan hilang dengan secara tidak menentu. Bagi ruam, biasanya ia akan pudar dalam masa 24 jam, tetapi gegata pula boleh muncul di bahagian tubuh yang lain.

Disebabkan oleh sifatnya yang sukar dijangka, CSU sering disalah anggap sebagai alahan biasa, ekzema dan juga ruam panas. Namun hakikatnya, CSU telah menjejaskan kualiti hidup pesakit, termasuklah gangguan tidur, tumpuan serta kesejahteraan emosi.
Bagaimana nak rawat CSU?
Dr Peter menyarankan pesakit untuk mengambil gambar ketika ia muncul, keadaannya sama ada timbul atau rata, dan catat tempoh ia bertahan, lokasi kemunculan serta rawatan yang pernah dicuba.
Kaedah ini secara tidak langsung dapat membantu doktor untuk membuat penilaian dengan tepat.
Bagi kaedah rawatan pula, pesakit disarankan untuk dapatkan nasihat doktor dan tidak bergantung kepada penggunaan steroid dalam jangka masa yang panjang.
Rakyat Malaysia yang mengalami gegata berulang selama enam minggu atau lebih perlu berjumpa doktor. Jika gejala masih tidak terkawal, bincang dengan doktor sama ada anda perlu berjumpa pakar.






