Pernah terfikir bagaimana mahu memastikan telefon, komputer riba atau peralatan elektrik terus berfungsi ketika bekalan elektrik terputus? Atau mungkin anda gemar berkhemah tetapi risau kehabisan bateri untuk mengecas pelbagai peranti?
Nampaknya, DJI ada jawapan menerusi produk terbaharunya, DJI Power Auro 2000 Elite. Menariknya, ia bukan sekadar stesen kuasa mudah alih biasa kerana hadir dengan kapasiti 2kWh, output sehingga 2,000W dan reka bentuk lebih kompak.
Tetapi apa sebenarnya yang membuatkan produk ini menarik perhatian? MURAI senaraikan lima perkara yang anda perlu tahu sebelum mempertimbangkan untuk memilikinya.
1. Saiz Lebih Kecil, Tetapi Kuasa Bukan Biasa-Biasa
Walaupun mempunyai kapasiti 2kWh, DJI Power Auro 2000 Elite hadir dengan saiz 24% lebih kecil dan 14% lebih ringan berbanding DJI Power 2000. Beratnya sekitar 19kg, menjadikannya lebih mudah disimpan dalam kereta atau di rumah.
Lebih menarik, ia menawarkan output stabil sehingga 2,000W untuk mengendalikan pelbagai peralatan elektrik terpilih.
2. Tak Perlu Pening Fikir Cara Mengecas
Ini antara ciri yang mungkin membuatkan anda teruja! Ia menyokong lima kaedah pengecasan termasuk soket elektrik, panel solar dan bateri kereta.
Malah, pengecasan menggunakan soket elektrik boleh mencapai 80% dalam masa sekitar 60 minit bagi kebanyakan pasaran.
3. Kabel Pengecas Terbina Dalam, Tiada Lagi Kabel Berselirat
Bayangkan kabel USB-C sudah tersedia pada badan peranti. Kabel retractable 140W ini boleh ditarik keluar dan disimpan semula secara automatik.
Ia juga mempunyai dua port SDC pintar untuk menyokong pengecasan pantas dron DJI dan aksesori serasi.
4. Boleh Digunakan Sebagai Bekalan Kuasa Kecemasan Di Rumah
Jangan ingat produk ini hanya untuk kaki camping! Ia turut dilengkapi fungsi UPS yang boleh beralih kepada bekalan bateri dalam masa 0.01 saat apabila berlaku gangguan elektrik.
Bateri LFP pula direka untuk bertahan lebih 6,000 kitaran pengecasan dengan kapasiti melebihi 70%.
5. Berapa Harganya Di Malaysia?
Bagi anda yang sudah mula tertarik, DJI Power Auro 2000 Elite ditawarkan pada harga RM6,509 dan mula dipasarkan di Malaysia pada 28 Oktober 2026 menerusi pengedar sah DJI.
Jadi, adakah ia berbaloi untuk mereka yang kerap melakukan aktiviti luar, menghasilkan kandungan atau mahukan bekalan kuasa sandaran di rumah?
Apa yang pasti, dengan kapasiti besar, reka bentuk kompak dan pelbagai pilihan pengecasan, produk ini menawarkan lebih banyak fleksibiliti untuk kegunaan harian mahupun profesional.















