Berita baik buat rakyat Sarawak! IKEA Malaysia bakal membuka gedung fizikal pertamanya di Sarawak pada 27 November 2026, bertempat di Pines Mall, Batu Kawa, Kuching.
Menariknya, IKEA Kuching bukan sekadar gedung baharu, malah menjadi gedung berformat kecil pertama IKEA di Malaysia. Jadi, walaupun saiznya lebih kompak berbanding gedung utama, pengalaman membeli-belah yang dinanti-nantikan tetap ada!
IKEA Kuching Sarawak Tawar 5,000 Produk Pada Harga Sama
Menerusi konsep yang lebih praktikal, pelanggan boleh meneroka sekitar 5,000 produk kelengkapan rumah, mendapatkan khidmat perancangan kediaman serta membeli barangan terpilih untuk dibawa pulang terus.
Antara produk ikonik yang ditawarkan termasuk rak buku BILLY, unit rak KALLAX dan kerusi santai POÄNG. Ada juga pilihan makanan IKEA dalam format grab-and-go untuk mereka yang mahu mengisi perut selepas sesi memburu barang rumah.
Paling penting, harga produk dan perkhidmatan IKEA Kuching adalah sama seperti di Semenanjung Malaysia, tanpa caj tambahan semata-mata kerana berada di Malaysia Timur.
Menurut Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Takeshi Murai, pembukaan ini membolehkan lebih ramai rakyat Sarawak menikmati penyelesaian kelengkapan rumah yang berkualiti pada harga mampu milik.
Jadi, selepas ini tak perlu sekadar tengok video dekorasi rumah di media sosial sambil menyimpan barang dalam wishlist. Rakyat Kuching akhirnya boleh merasai sendiri pengalaman IKEA, sama ada untuk ubah suai kecil-kecilan atau mencipta ruang kediaman yang lebih selesa!












