Apabila sebut tentang zakat, ramai mungkin terus terfikir tentang kewajipan yang perlu ditunaikan setiap tahun. Tetapi tahukah anda, pembayaran zakat oleh sesebuah syarikat juga boleh membuka peluang kepada pekerja dan perniagaan untuk mendapat manfaat tambahan?
Itulah yang cuba dibawa oleh ikhlas.com menerusi Zakat Advantage Programme (ZAP), sebuah inisiatif yang bukan sekadar menggalakkan pembayaran zakat korporat, malah menawarkan pelbagai kelebihan kepada syarikat yang menyertainya.
Zakat Advantage Programme, Bukan Sekadar Hulur Sumbangan
Program ini diperkenalkan menerusi Scale & Impact Summit 2026 di RedQ, KLIA Terminal 2. Ia juga meneruskan usaha Zakat Fest sebelum ini untuk menghubungkan usahawan Muslim, pemilik perniagaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemimpin syarikat.
Apa yang menarik, ZAP menyediakan beberapa manfaat yang boleh dinikmati oleh organisasi dan pekerja mereka.
Antaranya ialah Staff Waqalah Programme, yang membolehkan syarikat menyalurkan bantuan zakat kepada pekerja berpendapatan rendah yang memenuhi syarat kelayakan.
Malah, menerusi Company Rewards, syarikat yang menyertai program ini turut berpeluang menerima ganjaran tahunan seperti pakej umrah, percutian dan pengalaman gaya hidup.
Bukan Setakat Zakat, Ada Peluang Kembangkan Bisnes
Bagi syarikat yang mahu membina lebih banyak hubungan perniagaan, ZAP turut menyediakan sesi jaringan, perkongsian ilmu dan jemputan eksklusif.
Antaranya termasuk VIP Tea Talk bersama tokoh agama dan individu berpengaruh dalam dunia perniagaan serta Private Summit 2027.
Selain itu, Barakah Series Reporting membolehkan syarikat menerima laporan berkaitan sumbangan zakat dan aktiviti tanggungjawab sosial mereka. Jadi, organisasi boleh melihat serta berkongsi bagaimana sumbangan tersebut membantu masyarakat.
Dalam perkembangan sama, ikhlas.com merekodkan kutipan zakat sekitar RM44.36 juta pada 2026, dengan penyertaan 63 syarikat berbanding 42 syarikat pada 2025.
Sidang kemuncak itu turut menampilkan forum Empowering the Generation; Building a Stronger Economy bersama Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin dan pengasas Keedsflix International, Azri Jemani.
Pendek kata, zakat bukan sekadar tentang berapa banyak wang yang dikeluarkan, tetapi bagaimana sumbangan itu boleh membantu lebih ramai orang. Kalau lebih banyak syarikat mengambil bahagian, lebih luas juga peluang untuk masyarakat menikmati manfaatnya.













