Sempena ulang tahun ke-30 Astro, Gegar Vaganza Fantasia (GV13) tampil dengan pendekatan istimewa apabila menghimpunkan dua jenama hiburan yang cukup dekat di hati rakyat Malaysia, iaitu Gegar Vaganza dan Akademi Fantasia (AF).
Apa kata Raqim Ahmad?
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, GV13 bukan sekadar pertandingan nyanyian yang mahu mengimbau kenangan lama, sebaliknya menjadi platform untuk meraikan legasi Akademi Fantasia yang telah melahirkan ramai penyanyi berbakat dan terus relevan dalam industri hiburan tempatan.
“Sempena ulang tahun ke-30 Astro, kami mahu menghadiahkan sesuatu yang benar-benar bermakna kepada rakyat Malaysia. GV13 menjadi platform yang menyatukan dua jenama ikonik yang dekat di hati penonton, iaitu Gegar Vaganza dan Akademi Fantasia,” katanya.
Beliau menjelaskan, kemunculan semula para juara AF di pentas GV13 bukan hanya untuk membangkitkan nostalgia, tetapi turut menghargai perjalanan program realiti itu dalam mencorakkan landskap muzik Malaysia.
Raqim Ahmad Jangka Persaingan GV13 Lebih Sengit

Apa yang menjadikan GV13 lebih menarik ialah penyertaan para juara Akademi Fantasia yang pernah mencipta sejarah menerusi program berkenaan.
Menurut Raqim, buat pertama kalinya pentas Gegar Vaganza menghimpunkan barisan juara AF, sekali gus menawarkan persaingan yang berbeza daripada musim-musim sebelumnya.
“Gabungan pengalaman, kematangan dan kehebatan vokal mereka bakal menjadikan setiap konsert mingguan penuh dengan kejutan, emosi dan persembahan bertaraf tinggi yang pasti dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Bagi peminat yang membesar dengan fenomena AF, pastinya kemunculan semula nama-nama juara ini mengundang rasa teruja. Namun, persoalannya, mampukah mereka mengekalkan kehebatan apabila berdepan cabaran di pentas Gegar Vaganza?
Bak kata orang, nama besar sahaja belum tentu menjamin kemenangan. Persembahan konsisten, pemilihan lagu dan kemampuan menguasai pentas juga bakal menjadi perhatian penonton.
Apa-apa pun, GV13 dilihat sebagai peluang untuk menghubungkan generasi peminat lama dan baharu, sambil meraikan perjalanan muzik tempatan sepanjang tiga dekad Astro bersama rakyat Malaysia.












