Bila sebut tentang percutian, kita mungkin terus terbayang tiket kapal terbang, airport dan destinasi luar negara. Tetapi pernah tak kita fikir, sebenarnya Malaysia sendiri masih menyimpan banyak tempat yang mungkin belum pernah kita jejak?
Itulah antara perkara menarik yang diketengahkan menerusi kempen The Overlooked Malaysia, sebuah dokumentari ‘road trip’ yang membawa penonton melihat sisi Malaysia yang mungkin selama ini terlepas pandang.
Menjelajah empat negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, kempen ini bukan sekadar memaparkan lokasi cantik untuk bergambar. Pengembaraan bersama barisan selebriti dan pencipta kandungan turut merakam pengalaman sebenar mereka menikmati suasana tempatan.
Antara yang mencuri perhatian ialah The Explorer Trip ke Dabong, Kelantan, apabila sembilan pencipta kandungan termasuk Mierul Aiman berkampung dan meneroka kawasan tersebut. Setiap perjalanan dan aktiviti mereka dirakam sebagai sebuah dokumentari.
Menariknya, kempen ini turut bereksperimen dengan siaran langsung dari lokasi luar biasa, termasuk kawasan sungai dan batu besar. Bukan sekadar duduk dalam studio, kali ini penonton diajak ‘travel’ bersama dari skrin.
Dari Dokumentari Ke Dunia Sebenar
Bagi yang mahu merasai pengalaman tersebut secara langsung, The Overlooked Malaysia: Beyond The Screen akan berlangsung di IOI City Mall Putrajaya dari 7 hingga 11 Oktober 2026.
Acara lima hari itu turut menampilkan sesi meet & greet bersama Mierul Aiman, Ain Ramli, Zakuan Zainal, Farah Hamdan, Fikri Zamri, Merantau Dunia dan Sya Azhar, selain tayangan episod akhir filem pendek kempen.
Di sebalik perjalanan ini ialah Dr. Cardin, jenama fesyen tempatan yang kali ini memilih pendekatan lebih progresif dengan menggabungkan fesyen, pengembaraan dan penceritaan.
Mungkin mesej paling menarik daripada kempen ini mudah sahaja: sebelum kita sibuk mencari destinasi jauh, apa kata kita kenal dahulu ‘permata’ yang ada di halaman sendiri?












