Sempena ulang tahun ke-30 Astro, peminat muzik tempatan bakal disajikan dengan dua malam hiburan yang cukup istimewa menerusi Konsert Sooka dan Konsert Vaganza pada 5 dan 6 Disember 2026.
Bertempat di Idea Live Arena, 3 Damansara, kedua-dua konsert ini membawa tema One Stage, Three Decades, Endless Memories dengan menghimpunkan barisan penyanyi dan kumpulan muzik daripada generasi berbeza.
Kalau anda sedang mencari alasan untuk keluar menikmati muzik secara langsung, ini lima perkara yang perlu diketahui sebelum mendapatkan tiket!
1. Konsert Sooka Himpunkan Band Popular Generasi Kini
Pada 5 Disember, Konsert Sooka bakal menjadi medan buat peminat muzik berkumpulan. Antara nama yang bakal menggegarkan pentas ialah The Lantis, Insomniacks, Bunkface dan Kugiran Masdo, selain penampilan istimewa Kudrat Boys.
Daripada lagu yang mudah melekat di kepala hinggalah persembahan bertenaga, konsert ini dijangka menjadi malam singalong buat peminat muzik generasi muda.
2. Ziana Zain Bakal Berduet Dengan Hussain
Beralih ke Konsert Vaganza pada 6 Disember, peminat bakal menyaksikan gandingan menarik antara Datuk Ziana Zain bersama juara Big Stage Rocketfuel, Hussain.
Gabungan dua generasi ini pastinya mencetuskan keterujaan, apatah lagi apabila lagu-lagu popular bakal menjadi sebahagian daripada persembahan malam tersebut.
3. Jaclyn Victor, Datuk Ramli MS Bawa Hampir 20 Lagu
Satu lagi tarikan utama ialah persembahan Jaclyn Victor bersama Datuk Ramli MS yang bakal membawakan hampir 20 buah lagu dalam segmen istimewa.
Bukan calang-calang persembahan apabila figura hebat seperti Datuk Ramli MS turut memainkan peranan dalam susunan muzik.
4. Tenxi, Nadeera dan Noh Salleh Cipta Kolaborasi Istimewa
Apa yang lebih menarik, Konsert Vaganza turut mempertemukan Tenxi dan Nadeera buat pertama kali di atas pentas menerusi sebuah persembahan duet.
Selain itu, Datuk Ramli MS bakal menerajui susunan muzik untuk lagu-lagu popular ALPHA dan karya Noh Salleh. Elemen Girls Power juga tidak ketinggalan menerusi gabungan Mimi Fly bersama The Girls yang terdiri daripada Odda, Amarra dan Tengku Ratu.
Hussain dan ALPHA turut bakal bergabung dalam satu pentas. Memang banyak kombinasi yang mungkin sukar disaksikan dalam persembahan biasa!
5. Lebih 30 Lagu Dalam Tempoh Tiga Jam
Konsert Vaganza dijangka membawakan lebih 30 lagu sepanjang tiga jam persembahan. Gabungan muzik, vokal dan kolaborasi merentas generasi menjadi antara tarikan utama malam tersebut.
Kedua-dua konsert ini berlangsung di Idea Live Arena, 3 Damansara, dengan tiket kini boleh didapati menerusi Ticketmelon di platform jualan tiket rasmi.
Jadi, anda lebih cenderung memilih malam band generasi kini atau persembahan ikonik yang penuh nostalgia?














