Pempengaruh dan model berhijab asal Korea Selatan, Ayana Jihye Moon berkongsi rasa bangga apabila adiknya, Aydin Seongwook Moon kini menjalankan tugas dalam kem latihan khidmat ketenteraan di negara asal mereka itu.
Satu-Satunya Anggota Islam
Menurut Ayana, Aydin merupakan satu-satunya anggota beragama Islam di kem kententeraan yang diikutinya.
“Selamat pagi dari Ayana dan Aydin, The Real Crash Landing on You haha. Adik saya @aydinmoon sedang menjalankan tanggungjawab sebagai tentera. Dia adalah satu-satunya anggota beragama Islam di kem. Sangat bangga dengannya,” kongsinya.
Hantaran Ayana yang sering berkongsi kisah penghijrahan memeluk Islam itu mendapat perhatian ramai warganet di Malaysia dan Indonesia.
Netizen Prihatin
Menerusi tinjauan Murai MY, terdapat warganet yang prihatin dan berharap agar Aydin mudah mendapat makanan halal di kemnya.
“Berat tak ya jadi Muslim ketika perkhidmatan ketenteraan, semoga pemimpinnya memahami dan tidak ajak Aydin minum dan selalu menyediakan makanan halal di kem,” tulis salah seorang netizen.
Susulan itu, terdapat banyak juga pendapat berbeza yang dikongsikan netizen lain, ada juga yang memahami situasi Aydin yang merupakan mualaf, tambahan keadaan perkhidmatannya yang berada di negara bukan di bawah kepimpinan Islam.
Tampil Beri Penjelasan
Tidak berdiam diri, Ayana tampil bersuara memperjelaskan situasi adiknya itu. Menurutnya, Aydin harus mengikuti jadual ketenteraan dan pasti akan menunaikan solat jika punya waktu.
“Please do not fight here, di sana tak ada makanan Vege (sayur), tak ada tempat dan waktu untuk solat. Dia harus ikut jadual ketenteraan. Kalau ada waktu, dia pasti solat.
“Saya faham kalau anda semua tak faham situasi kami, tapi kami sudah lakukan yang terbaik sekarang, terima kasih,” tulisnya.
Di Korea, lelaki yang berusia 18 tahun layak untuk menjalani pemeriksaan fizikal oleh Pentadbiran Tenaga Anggota Tentera bagi menjalani latihan.
Selain hal tersebut, imej Ayana yang hanya memakai hoodie dan topi tanpa tudung ketika pulang ke Korea juga dipertikai netizen.
Kata Ayana, dia memakai hijab di Korea ketika berjalan sendirian, ke masjid dan bertemu orang Muslim. Di waktu lain, dia memakai topi untuk menutup kepala kerana gaya berhijab masih susah diterima dan Islam masih minoriti di negara berkenaan.
Ayana aktif bekerjaya di Indonesia dan memiliki sebuah apartment di Jakarta.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.