Meniti usia perkahwinan tanpa sebarang tanda kehamilan mungkin boleh mendorong rasa panik, gusar, bimbang dan pelbagai tanggapan tidak menyenangkan. Bagi pasangan muda, mungkin kehamilan tidak menjadi fokus pada tahun pertama bergelar suami isteri.
Namun untuk mereka yang berkahwin pada usia 30-an, berita kehamilan biasanya dinanti sebaik saja melangkah ke alam rumah tangga. Ketika ini, ramai wanita mula membuat persediaan dari sudut mental dan fizikal. Banyak perkara difikirkan untuk perancangan masa depan.
Realitinya, peluang untuk hamil adalah berbeza bagi setiap pasangan. Ia mungkin mudah untuk sesetengah orang, namun boleh jadi sukar atau hampir mustahil bagi sebilangan yang lain.
Penyanyi, Azmi Saat berkongsi berita gembira mengenai kehamilan isterinya, Nazira Muhammad yang sudah mencecah usia kandungan tujuh bulan selepas menanti selama dua tahun.
Azmi yang juga penyanyi kumpulan Caliph Buskers ini berkata, dia sangat bersyukur kerana dikurniakan rezeki untuk mendapat cahaya mata kerana pernah diuji dengan kehilangan anak pertama sebelum ini.
“Alhamdulillah, saya tidak sabar untuk menantikan kelahiran cahaya mata ini yang dijangka dilahirkan, Insya-Allah pada November depan.
“Ini eksklusif , saya dan isteri sudah dapat rezeki anak yang kedua selepas pemergian anak pertama, Allahyarham Khairul Afnan,” kongsinya.
Dalam perkongsiannya juga Azmi berkata, isterinya juga berkelakuan pelik dengan suka tidur di lantai sepanjang tempoh kehamilan berkenaan.
“Kalau tidur pun dia tak boleh tidur atas tilam, kalau tak lena, isteri akan turun daripada katil dan tidur di lantai.
“Saya berasa pelik sampai nak pergi tandas tertendang dia sebab tak perasan dia tidur di atas lantai itu. Kasihan isteri saya,” katanya.
Azmi dan Nazira mendirikan rumah tangga pada 2011. Mereka dikurniakan anak sulung iaitu Allahyarham Khairul Afnan, namun meninggal dunia pada 30 September 2021.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.