Komposer dan penyanyi Ajai enggan masuk campur dan menganggap perselisihan faham antara bekas isterinya, Nourul Wahab dan anak sulungnya, Ayu Nazirah sebagai normal dan tak perlu diperbesarkan.
Ajai atau nama sebenarnya, Mohd Faizal Maas, 48, memaklumkan konflik antara Nourul dan Ayu bukanlah perkara baharu kerana ia pernah beberapa kali terjadi sebelum ini.
“Bagi saya, itu adalah hal peribadi antara ibu dengan anak. Merajuk (Nurul dan Ayu) itu sebenarnya sudah biasa sangat.
“Saya kira itu perkara standard (perselisihan faham) antara ibu dan anak.
“Biasalah, kalau Ayu bergaduh dengan emaknya, dia akan mengadu kepada saya.
“Kalau Ayu berselisih faham dengan saya, dia mengadu dengan maknya. Biasalah itu,” kata Ajai.
Bagaimanapun, sebagai bapa, Ajai berkata, dia tetap menasihatkan Ayu supaya beralah dan terus menjaga hubungan baik dengan ibunya.
“Sebagai bapa, saya pujuk Ayu. Bila merajuk atau berselisih faham dengan mak, minta maaf. Kena hormat ibu kerana itu syurga kamu dan darah daging kamu,” ujarnya.
Sementara itu, Ajai turut menafikan status ibu baharu yang dimaksudkan Nourul dalam hantaran ditujukan kepada isterinya, Liza Ilyas.
“Ibu baharu yang dinyatakan dalam entri Nourul itu bukan Liza, itu orang lain,” jelasnya.
Terdahulu, pemilik nama sebenar Noorulhuda Abdul Wahab berkongsi foto sedang hamil dan menceritakan pengalaman sebelum melahirkan Ayu kira-kira 25 tahun lalu.
Menerusi perkongsian yang sama, penyanyi Kerana Terluka itu turut meluahkan perasaan seolah berjauhan hati apabila mendakwa dirinya dipinggirkan selepas anaknya mempunyai ibu baharu.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.