Siapa sangka tilam yang selama ini dianggap kelengkapan asas bilik tidur kini boleh menjadi sebahagian daripada kenangan perkahwinan? Getha tampil dengan idea unik menerusi koleksi With Love, Getha: Wedding & Celebration Collection, yang diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai tilam perkahwinan pertama di Malaysia.
Dilancarkan di Gurney Plaza, Pulau Pinang, pada 14 Oktober 2026, koleksi ini menggabungkan tradisi, teknologi dan sentuhan peribadi untuk pasangan yang bakal memulakan kehidupan bersama.
Getha Bawa Tradisi An Chuang Ke Dalam Reka Bentuk Tilam
Menariknya, koleksi ini diinspirasikan daripada an chuang (安床), iaitu adat menyediakan katil pengantin dalam masyarakat Cina. Tradisi tersebut melambangkan harapan terhadap kebahagiaan, keharmonian dan kesejahteraan rumah tangga.
Berbeza daripada persiapan bilik pengantin biasa, Getha membawa simbolik itu terus kepada rekaan tilam menerusi kemasan merah mewah dan lambang 囍 atau Double Happiness.
Lebih istimewa, pelanggan boleh menyulam nama pasangan serta tarikh perkahwinan. Pilihan simbol lain seperti 愛 (kasih sayang), 發 (kemakmuran), 財 (kekayaan) dan 福 (tuah serta keberkatan) turut disediakan menerusi variasi With Blessing, Getha.
Harga Tilam Kahwin Getha Cecah RM13,999
Dari segi keselesaan, koleksi ini menggunakan teknologi Transforme Miracle Latex dengan lateks asli 100 peratus serta teknologi Graphite+ untuk membantu mengurangkan haba ketika tidur. Model PrimeFibre turut dilengkapi lapisan sabut kelapa bergetah dan gentian penyejuk Suprelle Cool Night.
Namun, harga yang ditawarkan mungkin membuatkan bakal pengantin berfikir dua kali sebelum menambahnya dalam senarai persiapan.
Model Wedding/Blessing bermula pada RM8,999 bagi saiz Queen dan RM9,999 bagi King. Versi PrimeFibre pula berharga RM12,999 dan RM13,999 mengikut saiz.
Sempena promosi, pelanggan boleh menikmati diskaun 35 peratus serta rebat tukar beli tilam lama sehingga RM1,500, tertakluk pada terma dan syarat.
Koleksi ini boleh didapati di Getha Sleep Therapy Centres, pengedar sah dan kedai dalam talian rasmi Getha. Persoalannya, adakah anda sanggup berbelanja lebih demi tilam yang menyimpan kenangan perkahwinan, atau tilam biasa pun sudah memadai asalkan tidur lena?














