Tuah menyertai Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) yang lalu, nama penyanyi dan komposer Aina Abdul kini semakin hangat diperkatakan.
Perjalanan Aina Yang Membanggakan
Selepas mencuri perhatian menerusi single Sumpah, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina binti Abdul Ghani,27 muncul dengan single terbaharu berjudul Semalam yang juga merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Aina sendiri.
Mengimbas kembali perjalanannya, Aina memulakan karier seni sebagai seorang penyanyi selepas muncul sebagai Naib Juara Mentor Legend hasil didikan mentor nya, Ella.
Cipta Lagu Buat Tiga Penyanyi Wanita Popular
Siapa sangka, kelunakan suaranya itu telah berjaya mengharumkan negara setelah Aina merangkul kemenangan di World Championship of Performing Arts (WCOPA) 2014 bagi kategori Vocalist of The World.
Kini, Aina bukan sahaja aktif mencipta lagu buat dirinya, malah beberapa lagu terbaharu penyanyi ternama kelak seperti Misha Omar dan Ernie Zakri akan turut mendapat sentuhan daripada Aina.
Ini termasuklah buat selebriti verstail yang mesra disapa sebagai Kak Lina Pom Pom, Elly Mazlein yang meluahkan impiannya menerusi salah sebuah posting terbaharu Aina baru-baru ini. Menerusi ruangan komen, Elly menyatakan keinginannya untuk mendapatkan khidmat Aina menulis sebuah lagu buat dirinya tidak lama lagi.
Selain mendedikasikan ucapan raya, Elly turut bersungguh dengan memberitahu akan ada wakil daripada pihaknya menghubungi Aina bagi berbincang lanjut mengenai kerjasama mereka kelak.
Hasrat tersebut turut disambut baik oleh Aina yang mana Elly sendiri merupakan seorang penyanyi yang begitu dihormatinya selama ini. Dalam pada itu, beberapa komen dari peminat turut menyatakan keterujaan mereka mengenai kolaborasi kedua-dua figura ini selain beranggapan lagu hits Elly yang berjudul Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan bakal muncul dengan versi keduanya tidak lama lagi.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.