Night Shift, sebuah pameran baharu yang menelusuri suasana kehidupan malam di Kuala Lumpur antara tahun 1997 dan 2003, dianjurkan dengan kerjasama Urbanscapes, akan dibuka pada 7 November di Bookmark @ APW, Bangsar. Pameran ini turut menampilkan sesi perbincangan panel bersama tokoh-tokoh penting dari era tersebut.
Night Shift Bawa Kamu Kembali Ke Era 1997-2003
Dicurasi oleh Roshan Menon (Saturday Selects) dan Callen Tham (Excessive Records, Ohrwurm, Tempo, Pervert Designs), Night Shift menyoroti satu tempoh yang seakan hilang daripada rekod budaya bandar ini: tahun-tahun di mana perintah berkurung dan Krisis Kewangan Asia memaksa arena muzik tari Kuala Lumpur bergerak secara ‘bawah tanah’ (underground), sebelum berkembang menjadi sesuatu yang jauh lebih besar.
Night Shift merupakan sebahagian daripada kemunculan semula Urbanscapes selepas tujuh tahun menyepi. Tema ‘Made Different’ menjadi teras kepada setiap edisi platform ini meraikan individu dengan perspektif unik serta cara berkarya yang tersendiri; pameran ini boleh dianggap sebagai ‘surat cinta’ daripada Roshan dan Callen buat Kuala Lumpur.
Pameran ini dibuka pada hari yang sama dengan ‘Long Time No See’, sebuah acara anjuran Urbanscapes di APW Bangsar yang meraikan suasana KL pada lewat tahun 2000-an, sekali gus menghimpunkan dua era kehidupan malam bandar ini di satu lokasi.

Perintah berkurung pada pukul 1 pagi yang dikuatkuasakan sekitar tahun 1997 telah memaksa acara-acara hiburan dipindahkan ke lokasi seperti banglo, unit ‘penthouse’, malah Penjara Pudu pada 18 Julai 1997, beberapa bulan sebelum bekas penjara era kolonial itu dijadualkan untuk dirobohkan.
Dari era inilah muncul gelombang pertama DJ antarabangsa yang mengadakan jelajah di Malaysia, termasuk persembahan Sven Väth yang berlangsung selama hampir 14 jam (anjuran Frenzy); era Backroom sebagai pusat muzik ‘house’ di bandar ini dari tahun 1999 hingga 2001; serta penganjuran acara oleh Movement yang menampilkan nama-nama besar seperti John Digweed, Sasha, dan Paul van Dyk. dan, menjelang tahun 2002–03, satu suasana yang cukup matang untuk menerima tajaan—daripada sokongan Kent terhadap Extract, Gate2K, dan Choice, sehinggalah kepada aktivasi jenama Salem di Genting.











