Siapa sangka, usikan anak-anak boleh menjadi titik permulaan kepada sebuah hubungan istimewa? Itulah yang berlaku kepada penyanyi dan cef selebriti, Dato’ Fazley Yaakob bersama usahawan terkenal, Datuk Seri Vida (DSV).
Menariknya, hubungan mereka bukan bermula dengan pertemuan yang dirancang oleh orang dewasa, sebaliknya dicetuskan oleh gurauan dua anak mereka iaitu Cik B dan Fariedz Fazley atau lebih mesra dikenali sebagai Payish.
Cik B & Payish Jadi Orang Tengah
Menurut Fazley, segalanya bermula ketika mereka terlibat dalam program realiti Talk To My Manager. Ketika itu, Cik B secara berseloroh mencadangkan kemungkinan ibunya dan Fazley mempunyai hubungan istimewa.
Payish pula tidak melepaskan peluang untuk menyokong idea tersebut. Akhirnya, kedua-dua anak itu mengambil inisiatif mengatur pertemuan antara Fazley dan Vida di sebuah restoran Jepun.
Dari situlah mereka mula mengenali hati budi masing-masing dengan lebih dekat.
Hubungan tersebut kemudiannya semakin serius menjelang penghujung program apabila kedua-duanya mula meluangkan lebih banyak masa bersama, selain berbincang mengenai keluarga dan masa depan anak-anak.
Fazley Anggap Pertemuan Hari Arafah Jadi Titik Penting
Fazley turut mengimbas detik bermakna ketika bertemu Vida pada Hari Arafah di Lexus Kuala Lumpur. Ketika itu, beliau menyatakan hasrat untuk mengenali usahawan berkenaan dengan lebih rapat.
Walaupun Vida pada mulanya terkejut, pertemuan tersebut menjadi permulaan kepada hubungan yang semakin akrab.
Sebelum ini, hubungan mereka turut menjadi bualan hangat di media sosial. Ada yang menyangka kemesraan itu sekadar gimik pemasaran, malah tidak kurang juga yang menyokong mereka.
Kini, selepas sekian lama menjadi tanda tanya, Fazley akhirnya melamar Vida pada 10 November lalu dan usahawan itu menerima lamaran berkenaan.
Nampaknya, gurauan anak-anak yang pada mulanya sekadar suka-suka akhirnya membawa kepada kisah cinta yang lebih serius. Kadangkala, anak-anak lebih cepat nampak keserasian berbanding orang yang sedang bercinta sendiri!












