Bagi anda yang kerap menaiki pesawat untuk bercuti atau urusan kerja, keselesaan sepanjang penerbangan pastinya menjadi antara perkara utama. Terbaharu, Emirates mencatat satu lagi pencapaian apabila dinobatkan sebagai World’s Best Airline 2027 menerusi senarai sulung yang diterbitkan oleh TIME bersama Statista.
Lebih menarik, syarikat penerbangan berpangkalan di Dubai itu turut menduduki tempat pertama dalam kategori Best Value dan Business Travel. Nampaknya, bukan sekadar kabin mewah yang menjadi kelebihan, malah pengalaman penumpang turut memainkan peranan besar.
Emirates Dinilai Berdasarkan Pengalaman Penumpang
Antara aspek yang dinilai termasuk keselesaan kabin, kualiti perkhidmatan, hiburan dalam pesawat, makanan, sambungan internet dan nilai wang. Jadi, gelaran ini bukan sekadar berdasarkan populariti atau rupa pesawat semata-mata.
Malah, laporan Gulf News turut menyatakan bahawa Emirates mengatasi Qatar Airways dan Air New Zealand dalam kedudukan keseluruhan.
108 Pesawat Dinaik Taraf, Wi-Fi Starlink Percuma
Dalam usaha meningkatkan pengalaman pelanggan, Emirates sudah menaik taraf 108 pesawat menerusi program pengubahsuaian kabin bernilai US$7 bilion.
Menjelang Disember 2026, perkhidmatan Premium Economy juga dijangka tersedia ke hampir 100 destinasi dalam rangkaiannya.
Tidak cukup dengan itu, kemudahan Wi-Fi berkelajuan tinggi Starlink kini dipasang pada 74 pesawat dan ditawarkan secara percuma untuk semua kelas penerbangan.
Penumpang boleh melayari media sosial, menonton kandungan, bermain permainan atau menyiapkan tugasan ketika berada di udara. Tak perlu lagi risau terputus hubungan berjam-jam!
Hiburan Dan Keselesaan Untuk Semua
Emirates turut menawarkan lebih 6,500 saluran hiburan menerusi sistem ice, termasuk filem, muzik, rancangan televisyen dan permainan dalam lebih 40 bahasa.
Bagi keluarga yang membawa anak kecil, syarikat penerbangan ini menyediakan makanan khas kanak-kanak, pilihan hiburan mesra keluarga serta kemudahan untuk bayi.
Jelas sekali, Emirates mahu memastikan pengalaman penerbangan bukan hanya selesa untuk penumpang kelas premium, tetapi juga mereka yang melancong bersama keluarga.













