Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 terus mengiktiraf sumbangan penggiat industri penyiaran dan media menerusi penganjuran edisi ke-37 yang bakal berlangsung pada 24 Oktober ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah, hari ini hadir ke Majlis Kira Detik ASA 2026 bagi menghargai sokongan barisan penaja yang memainkan peranan dalam menjayakan penganjuran anugerah berprestij itu.
Bertemakan ‘Segalanya Bermula di Sini’, ASA 2026 menerima sebanyak 1,601 pencalonan merangkumi tiga kategori utama, iaitu televisyen, radio dan media baharu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,106 pencalonan diterima bagi kategori televisyen, diikuti 421 pencalonan kategori radio dan 74 pencalonan kategori media baharu.
Jumlah penyertaan itu memperlihatkan kepelbagaian penghasilan kandungan dalam industri media tempatan, merangkumi penyiaran tradisional hingga platform digital yang semakin berkembang.
20 Penaja Sokong Penganjuran ASA 2026
Penganjuran ASA 2026 turut mendapat sokongan daripada 20 penaja dan rakan strategik, termasuk CIMB, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Himalaya, Hotel Royale Chulan, DRB-HICOM Berhad, TikTok, Raja Perfume Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Turut menyokong ialah Merdeka 118, Telekom Malaysia Berhad (TM), PERODUA, Kek Lapis Mama Su, Usanita Sdn. Bhd., MAMEE Double Decker (M) Sdn. Bhd., Jelas Juta Sdn. Bhd., Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), MyCreative Ventures (MyCV), SEDANIA Innovator Berhad, Nestlé Malaysia dan FIC Hospitality Sdn. Bhd. (FELDA).
Sokongan pelbagai organisasi ini mencerminkan kerjasama antara sektor korporat, agensi kerajaan dan industri kreatif dalam memperkukuh landskap penyiaran serta penghasilan kandungan tempatan.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Datuk Bahria Mohd Tamil, serta Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Encik Erwin Khairul Ahmad.
Malam Kemuncak ASA 2026 dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Sementara itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai senarai lima teratas ASA 2026 menerusi laman sesawang rasmi www.anugerahseriangkasa.gov.my.













